15 hari telah berlalu sejak serangan
rejim pengganas Zionis di Gaza yang bermula pada awal Ramadhan. Jumlah
syuhada di Gaza makin bertambah. Hospital tidak lagi mampu menampung
bilangan mereka yang tercedera. Bilangan wanita dan kanak-kanak yang
dibunuh juga makin meningkat. Ibu-ibu kehilangan anak kecil, anak kecil
kehilangan ibu, kehilangan ahli keluarga seolah menjadi perkara biasa
yang dilaporkan setiap hari.
Kerosakan harta benda, bangunan dan
tanah pertanian tidak dapat digambarkan. Setelah bangkit dari serangan
sebelumnya yang mengorbankan ribuan nyawa, Gaza berdarah kembali, dan
mereka memerlukan bantuan kita lebih dari sebelumnya.
Bagi Muslim, tuntutan untuk membantu
saudara-saudara kita di Gaza adalah jauh lebih besar dari tuntutan
kemanusiaan, ia adalah manifestasi keimanan dan persaudaraan Islam.
Kita boleh membantu Gaza dengan banyak
cara, di bawah ini disenaraikan lapan cara yang efektif bagaimana kita
boleh membantu Gaza secara khusus pada saat ini sekaligus membuka jalan
untuk membebaskan Palestin dan Masjid Al Aqsa dari cengkaman rejim
pengganas Zionis.
1. Memberi sumbangan harta
Tidak dapat dinafikan, sumbangan yang
paling utama ketika ini untuk penduduk Gaza adalah sumbangan harta.
Mereka amat memerlukannya bagi membangunkan kembali kehidupan selepas
peperangan ini berakhir. Sudah tentu dana yang diperlukan adalah untuk
tujuan perubatan, pendidikan, makan-minum, pembangunan semula
bangunan-bangunan yang dimusnahkan, pembelaan anak-anak yatim dan
macam-macam lagi. Tidak sedikit dana yang diperlukan. Sumbangkanlah
sedikit jika tidak mampu banyak, Insya-Allah harta kita akan lebih subur
walaupun syaitan cuba membisikkan kemiskinan. Itu adalah janji Allah.
Sumbangan kewangan ini boleh disalurkan
melalui banyak NGO-NGO di Malaysia yang amat aktif berperanan dalam
membantu masyarakat di Gaza seperti Aman Palestin. Kecilkanlah sedikit
perbelanjaan kita dalam tempoh beberapa bulan ini untuk membantu
masyarakat Gaza yang teruk dijarah oleh rejim pengganas Zionis.
2. Berdoa
Doa adalah senjata mu’min yang paling
efektif, terutamanya dalam waktu-waktu krisis. Antara doa yang diamalkan
oleh Rasulullah adalah doa Qunut Nazilah. Doa mesti diteruskan agar
rejim pengganas Zionis hancur sehancur-hancurnya dan tanah Palestin yang
terjajah sejak tahun 1948 dapat dikembalikan semula. Jangan lupa doakan
kemenangan umat Islam setiap kali selepas solat fardhu dan juga pada
kesempatan-kesempatan lain.
3. Boikot produk syarikat yang menyokong zionis
Boikot adalah satu mekanisme efektif
yang telah berjaya di banyak negara dalam memberi tekanan kepada Israel.
BDS movement, sebuah gerakan anti apartheid yang berusaha keras untuk
memboikot rejim pengganas Zionis melaporkan bahawa nilai eksport Israel
berkurang dengan signifikan kesan daripada boikot. Senarai barang-barang
yang diboikot boleh didapati dari laman web yang boleh dipercayai
seperti Friend of Al Aqsa dan laman web BDS movement itu sendiri.
4. Memperbaiki kualiti ibadah
Seorang jeneral tentera Israel bernama
Moshe Dayan pernah menyatakan bahawa dia hanya akan gentar bila umat
Islam mampu untuk solat Subuh berjemaah di masjid sepertimana solat
Jumaat. Ini adalah petunjuk bahawa Israel memahami hakikat agama ini,
iaitu mereka hanya akan ditumpaskan oleh kelompok Muslim yang
berkualiti. Jika kita benar-benar ingin menjadi golongan ‘amrullah’ yang
tidak akan sesat sepanjang zaman seperti mana yang disebut oleh nabi
dalam hadis, maka kita mesti memulakannya dengan memperbaiki diri
sendiri.
Kita mesti memperbaiki kualiti ibadah,
diulang MESTI, terutamanya ibadah wajib. Ilmu adalah asas penting.
Sebagai contoh, solat fardhu mesti dilaksanakan bukan sahaja dengan ilmu
yang sahih, tapi dengan perlaksanaan yang bersungguh, iaitu berjemaah
dan pada awal waktu.
Ibadah sunat juga mesti
dipertingkatkan. Biasakan diri kita dengan zikir-zikir dan bacaan Al
Quran. Cubalah untuk melaksanakan solat sunat qabliah dan ba’diah,
terutamanya sunat qabliah subuh. Solat tahajjud dan witir tentunya
termasuk dalam senarai sasaran yang mesti kita capai, apatah lagi dalam
waktu-waktu akhir di bulan Ramadhan ini.
5. Lebih cakna tentang isu Palestin
Untuk memahami isu ini dengan lebih
baik, tidak cukup sekadar kita beremosi pada waktu krisis berlaku.
Namun, kesedaran bermusim ini lebih baik ada dari tiada. Kesedaran ini
mesti diisi dengan maklumat yang sahih. Kita mesti mengetahui sejarah
penjajahan Palestin, terutamanya sejak tahun 1948. Isu Palestin bukan
sekadar isu serangan di Gaza dan rampasan rumah di Tebing Barat, tapi ia
berkait rapat dengan penghapusan etnik secara sistematik, pembunuhan
besar-besaran di kem-kem pelarian yang telah berlaku dan mungkin akan
berlaku lagi, hak untuk kembali ke tanah asal yang masih dinafikan dan
tentunya pembebasan Masjid Al Aqsa yang kini dikuasai oleh Zionis.
Bacalah buku-buku yang membicarakan
perkara ini secara ilmiah. Laburkan sedikit wang dan luangkan sedikit
masa untuk memahami. Hadirkanlah diri ke program-program anjuran Aman
Palestin yang memberi maklumat tentang Palestin. Insya-Allah, selepas
memahami, kita akan mengetahui akan urgensi dan hakikat sebenar isu ini
sepanjang sejarah kenabian dan umat Islam.
6. Melakukan kempen kesedaran Palestin di kalangan rakan-rakan
Kesedaran tentang isu Palestin mesti
dipromosikan seluas-luasnya. Gunakanlah apa sahaja medium komunikasi
yang ada untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan isu ini kepada
umat Islam. Manfaatkanlah laman media sosial seperti Blog, Facebook dan
Twitter. Bagi mereka yang berkemahiran menghasilkan video, gunakanlah
kemahiran tersebut dan sebarkanlah seluas-luasnya melalui YouTube atau
apa jua medium yang ada.
Sebarkanlah maklumat tentang keganasan
Zionis, pembunuhan kanak-kanak, sifat pengecut dan tipu daya mereka.
Sebarkan juga tentang semangat luar dan ketaqwaan ahli Gaza yang luar
biasa. Banyak perkara yang umat Islam di negara lain boleh pelajari dari
krisis Palestin yang sedang berlaku ini.
7. Didik anak-anak dengan semangat pembebasan Al-Aqsa
Isu Palestin juga mesti diterapkan
dalam diri anak-anak. Bagi mereka yang telah berkeluarga dan mempunyai
anak-anak, letakkanlah agenda cakna Palestin sebagai salah satu agenda
utama dalam keluarga. Banyak aktiviti yang boleh dilakukan bersama.
Antaranya adalah dengan menonton video tentang Palestin, bercerita
kepada anak-anak sebelum tidur, mengajak anak-anak untuk melukis poster,
buat pertandingan bercerita tentang Palestin di kalangan anak-anak
rakan dan jiran, bernasyid dan macam-macam lagi.
Anak-anak mesti dididik dengan semangat juang dan keyakinan bahawa mereka adalah pewaris perjuangan untuk membebaskan Al Aqsa.
8. Boikot cara hidup zionis
Akhir sekali, cara hidup tajaan rejim
pengganas Zionis untuk melalaikan umat Islam seperti berhibur secara
berlebihan, membuang masa dengan aktiviti lagha seperti menonton
‘movie’, membazir dengan kemewahan melampau dan terlibat dalam pergaulan
bebas tanpa batas mesti diboikot. Jika kita benar-benar serius untuk
membebaskan Al Aqsa, maka kita mesti merancang dan meletakkan agenda
hidup untuk memboikot cara hidup zionis dan mengamalkan cara hidup Islam
secara total.
Tinggalkanlah konsert-konsert,
lagu-lagu dan hiburan yang melalaikan. Tinggalkan juga isme-isme sesat
seperti liberalisme dan sekularisme dalam beragama. Bina diri dengan
semangat perjuangan dan jiwa yang besar, lakukannya perlahan-lahan.
Carilah teman-teman yang baik, yang mampu membimbing diri kearah
kebaikan. Rajinkan diri untuk ke majlis Ilmu dan hadir berjemaah di
masjid.
Kesimpulannya, iltizamkanlah diri
dengan Islam. Insyaallah, setiap langkah ke arah kebaikan yang kita
buat, maka masa untuk pembebasan Al Aqsa juga akan semakin hampir. Moga
kita akan termasuk dalam golongan mereka yang menyaksikan pembebasan
masjid ini buat kesekian kalinya.
Mohd Hisham Mohd Sharif
Aktivis ISMA Australia
No comments:
Post a Comment